
Sawah padi menghijau di kiri jalanraya Kota Bharu - Pasir Mas. Sewaktu kami dalam perjalanan ke Pengkalan Pasir, ramai orang menjual etak di sepanjang jalan ini.
Hari ini pukul 10:30 pagi Poi, Wan, Khairul dan Nadhirah bertolak ke pekan Pasir Mas untuk melihat suasana pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, disamping hendak membeli baulu Pasir Mas. Kami melalui jalan baru Kota Bharu – Pasir Mas, di mana di kiri dan kanannya sawah padi menghijau. Perjalanan sejauh 18 km memakan masa hampir sejam kerana jalan sesak apabila memasuki kawasan DUN Pengkalan Pasir, tempat berlangsungnya pilihan raya kecil.
Banyak bahan – bahan kempen seperti lambang – lambang, poster – poster dan banner parti – parti yang bertanding bergantungan di sana – sini. Terdapat pertandingan 3 penjuru. PAS, BN dan Bebas bertanding merebut kerusi N12 Dun Pengkalan Pasir. Calon bebas, tak lain tak bukan ialah ‘jaguh’ Pasir Mas – Dato Ibrahim Ali yang telah ‘menyelamatkan’ PAS pada pilihanraya umum yang lalu untuk kerusi Parlimen Pasir Mas dengan memecahkan undi BN.
Masing – masing dengan slogan masing – masing. PAS terkenal dengan poster gambar YAB Menteri Besar sedang khusyuk berdoa "Ya Allah! Selamatkanlah rakyat negeri Kelantan" dan slogan "Kekalkan Kelantan Di Bawah Kepimpinan Ulama". BN pula dengan agenda pembangunannya, manakala Dato Ibrahim Ali pula dengan perjuangan membela orang Melayu.
Di dalam banyak – banyak banner, ada satu yang mencuri perhatian kami. Ia berbunyi begini:
"Tepuk amai – amai,
Belalang kupu – kupu,
Takbir ramai – ramai
Kekoh balok suku – suku (kebas balak sikit – sikit)"
Pantun di atas kain pemidang itu ditulis oleh pihak BN untuk mengutuk PAS yang kononnya menyeleweng hasil balak negeri Kelantan. Ini mengingatkan Poi kepada satu persidangan DUN Kelantan tak lama dahulu, di mana Ketua Pembangkang, Dato Seri Annuar Musa mendedahkan penyelewengan hasil balak di Gua Musang yang katanya, dilakukan oleh exco – exco kerajaan Kelantan. Beliau memulakan ucapannya yang lebih kurang begini bunyinya,"Saya percaya YAB Menteri Besar, seorang ulama yang amat dihormati dan disegani seluruh rakyat negeri Kelantan, sudah tentu tidak akan mendiamkan diri apabila mendengar pendedahan tentang penyelewengan hasil balak yang dilakukan oleh exco di bawah pimpinan YAB sendiri…".

Sudah hampir dengan pekan Pasir Mas. Jalan semakin sibuk. Kelihatan poster PAS bergantungan.
Menurut saudara Saifuddin Nasution Ismail, salah seorang pemimpin Parti Keadilan Nasional, ketika itu, dia sedang berada di DUN Kelantan sebagai pemerhati. Apabila mendengar ucapan permulaan Annuar Musa, dia sudah ketar lutut. "Apakah benar pemimpin PAS menyeleweng hasil negeri ?". Annuar Musa pun meneruskan pendedahannya secara terperinci selama beberapa jam sehingga persidangan ditangguhkan waktu tengahari. Di antara isi ucapannya, beliau menyatakan exco Kelantan telah menyalahguna kuasa meluluskan penebangan balak di satu kawasan tanah simpan kerajaan kepada sebuah syarikat swasta. Pada akhir ucapannya, beliau meminta BPR melakukan siasatan terhadap exco kerajaan Kelantan. Sewaktu beliau berucap, tidak ada seorang pun anggota wakil rakyat PAS yang mencelah seperti kebiasaannya. Ini menyebabkan pemerhati di kalangan penyokong PAS berasa resah. "Apakah benar dakwaan Annuar Musa ?".
Pada sebelah petangnya, giliran YB Husam Musa, anggota exco kerajaan Kelantan, menjawab. Beliau memegang portfolio yang bertanggungjawab menjaga hasil balak negeri. Beliau memulakan ucapannya, "Terima kasih kepada Ketua Pembangkang di atas pendedahan tersebut. Walau bagaimanapun ianya ibarat "meriam buluh". Bunyinya kuat tapi kosong." Beliau pun menjawab tentang apa yang didakwa oleh Annuar Musa sebagai penyelewengan itu.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen membalak kepada mana – mana pihak di kawasan yang didakwa Annuar Musa. Apa yang dimaksudkan sebagai lesen membalak itu adalah sebenarnya "valuation permit" yang diberikan kepada satu syarikat swasta untuk menilai hasil emas yang ada di kawasan tersebut, bukannya membalak. Beliau meminta Annuar semak sendiri di Pejabat Tanah dan Galian untuk mengesahkannya. Berkenaan dengan kenyataan Annuar Musa yang menggesa BPR menyiasatnya, YB Husam berkata "Tak semestinya orang yang disiasat BPR bersalah. Seperti Dato juga, di dalam kes penyelewengan jutaan ringgit wang PPRT. Dato telah disiasat oleh BPR, tetapi tidak ada pendakwaan dibuat terhadap Dato. PAS mengambil sikap Dato tidak bersalah. Walau bagaimanapun, kes Dato ini pelik sikit. Hanya kereta Dato saja yang masuk penjara." Mendengar sindiran tajam YB Husam, Dato Annuar Musa melenting sehingga menghamburkan perkataan "bodoh’ dan ‘barua’ kepada YB Husam. Akhirnya, Dato Annuar Musa senyap begitu sahaja kerana ketiadaan hujah.
Begitulah kisahnya, salah satu daripada banyak cubaan UMNO untuk memusnahkan kredibiliti kerajaan Kelantan di bawah pimpinan PAS. Malangnya, tidak berjaya. Sehingga ke hari ini, tidak ada seorang pun pemimpin PAS Kelantan yang ditangkap / didakwa kerana menyeleweng semenjak PAS memerintah Kelantan tahun 1990. Sebaliknya, yang menerima padah ialah Sharif Jajang (bekas exco Selangor), Isa Samad, Kasitah Gadam, Osu Sukam (kes berjudi) dan ramai lagi (semuanya dari BN). Ini mengingatkan Poi kepada peribahasa "Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih". Wallahua’lam.
Pihak BN juga umumnya banyak memaparkan gambar Annuar Musa, Pak Lah dan Dato’ Hishamuddin Tun Hussein. Di samping gambar – gambar tersebut ada slogan – slogan seperti : "BN Mene Kelate Sene" (BN Menang Kelantan Senang), "Era Pak Lah Kelantan Membangun". PAS pula meletakkan satu kain pemidang yang berdekatan dan menyatakan, "Era Pak Lah, Kelantan Lelah !". Ini membuatkan kami semua dalam kereta gelak sakan dengan pelbagai slogan dan kata – kata kedua – dua belah parti politik yang bertanding. Masing – masing saling jawab – menjawab.

Jalan menuju ke pekan Pasir Mas dipenuhi dengan poster - poster pilihanraya. Kelihatan poster BN bergantungan.
Puteri UMNO juga tidak ketinggalan berkempen. Slogan mereka: "Puteri Cakno (prihatin), Membela Rakyat Pasir Mas". Di hadapan salah satu markaz Puteri UMNO, terdapat gambar Dato’ Noraini Ahmad, Ketua Puteri UMNO memakai selendang. Nak tunjuk pada rakyat Kelantan yang kuat pegangan agamanya bahawa Puteri UMNO pun berimej Islam. Tak apalah, cara kempen masing – masing. Orang kata, masuk kandang kambing mengembek. Takkan nak tunjuk rambut yang berwarna – warni. Mesti orang tempatan tak terima.
Banner - banner Dato Ibrahim Ali juga menarik perhatian kami. Dato Ibrahim Ali bertanding sebagai calon bebas bersimbolkan payung, menyediakan banyak poster dan kain pemidang yang berwarna – warni. Di antaranya berbunyi:
"PAS 23 BN 21
1 kerusi lagi bagi Dato Him.
Bawa perjuangan Dato Him ke DUN Kelantan !"
"2 tahun 4 kali minyak naik,
biasiswa untuk Melayu dah tak ada,
kemiskinan tak tahu nak kata apa,
Tak Melayu Hilang Di Dunia,
Sokong perjuangan Dato Him untuk kedaulatan Melayu!"
Dari segi aktiviti sepanjang musim kempen pilihanraya, melalui akhbar, Poi mendapat berita bahawa BN menggunakan Mawi dan kumpulan nasyid Hijjaz untuk menarik perhatian pengundi. PAS juga tidak ketinggalan mengadakan konsertnya. Kami bertemu dengan satu banner: "Konsert Bersama Artis Jemputan : Ustaz Akil Hayy anjuran PAS Kelantan pada 3 Disember 2005 9:00 malam di Stadium Pasir Mas." Ustaz Akhil Hayy adalah bekas vokalis kumpulan rock d’Riyadh. Poi sekeluarga pernah mengikuti konsertnya di Kulim tak lama dahulu anjuran PAS Padang Serai. Persembahannya memukau. Penuh dengan mesej ketuhanan. Inilah kali pertama Poi menghadiri konsert. Memang puas hati betul. Budak – budak ni pada mulanya mengantuk, terus segar apabila Ustaz Akil mendendangkan lagu – lagunya. Ramai betul orang datang. Dia memang ‘crowd puller’.
Ada satu lagi banner yang berbunyi "Hadiah RM15000 kepada sesiapa yang memberi maklumat pengundi hantu / politik wang. Hubungi XXXXXXXX untuk keterangan lanjut." Ia adalah banner PAS. Sepanjang perjalanan kami ke Pasir Mas, kami menemui 2 – 3 banner yang serupa. Masalah pengundi hantu memang Poi akui wujud berdasarkan pengalaman Poi menyemak daftar pemilih tak lama dulu di laman web SPR. Di dalam daftar pemilih, ada maklumat daerah mengundi, lokaliti, daerah mengundi dan sebagainya. Salah seorang pengundi yang Poi jumpa mempunyai daerah mengundi "America" dan lokalitinya "USA". Ada ke dalam Malaysia daerah mengundinya "America"? Ini sudah tentu boleh dimanipulasikan oleh pihak tertentu. Kes pilihanraya kawasan Likas yang dibatalkan mahkamah menguatkan hujah memang terdapat pengundi hantu, walaupun dinafikan berkali - kali oleh sesetengah pemimpin politik. Alasannya, orang yang nak mengundi kena ada IC dan namanya perlu ada dalam daftar pemilih SPR. Kalau menonton rancangan 999, kita pun tertanya - tanya bagaimana pendatang haram Indon boleh dapat myKad. Barangkali jawapannya ada di situ.
Sistem daftar pemilih sekarang ini membolehkan orang yang bukan pemastautin di sesuatu kawasan, mengundi di kawasan tersebut. Pada pandangan Poi, kurang adil kerana sudah tentu orang tempatan yang lebih arif tentang calon wakil rakyat mereka. Harapnya pada masa akan datang kerajaan dapat laksanakan polisi yang lebih adil untuk pilihanraya.
Setibanya di Pekan Pasir Mas, suasana poster kempen pilihanraya menjadi lebih meriah. Setiap sudut pekan kecil tersebut sarat dengan bahan – bahan kempen. Yang lebih menarik, kempen daripada kaum Cina yang memberikan sokongan kepada PAS. Mereka telah membina satu gerbang "Penyokong PAS Kaum Tionghua".
Lebih kurang sejam meronda di sekitar DUN Pengkalan Pasir, kami pun bertolak balik ke Kota Bharu. Sewaktu dalam perjalanan, sempatlah Poi mengambil beberapa shot gambar dengan menggunakan kamera digital Poi yang bermasalah itu. Sewaktu di pekan Pasir Mas, suasana poster lebih meriah, kamera Poi tak nak hidup pulak. Frust betul ! Tak dapatlah Poi rakamkan suasana di situ.